Jan 30, 2026 - FASSelangor FC mengumumkan bahawa Kim Ji-ho, pemain sayap serangan dari Korea Selatan secara rasmi hari ini menyertai keluarga Gergasi Merah bagi memperkukuhkan kempen pasukan bagi musim 2025/26.
Dilahirkan pada 28 Januari 2003, Kim Ji-ho memulakan perjalanan bola sepaknya di akademi Suwon Samsung Bluewings, sebelum terus mendapat pendedahan awal melalui struktur belia lain di negara asalnya termasuk Seongnam FC U12, Seongnam FC U15, Seongnam FC U18, Yongin Football Center U18 Deokyoung dan seterusnya beraksi di peringkat universiti bersama Korea University sehingga pertengahan 2024.
Karier senior Kim bermula apabila beliau menyertai Suwon Samsung Bluewings secara profesional pada 12 Julai 2024. Secara keseluruhan, beliau telah mencatatkan 22 penampilan rasmi untuk kelab tersebut dan menyumbang 4 jaringan gol dan 3 bantuan gol dalam K League 2 dan Piala Korea.
Dikenali dengan kepantasan sebagai pemain sayap, beliau memilih menyertai Selangor FC kerana keserasian visi kelab serta kualiti barisan kejurulatihan, “Selangor FC antara sebuah kelab besar di Malaysia dan mempunyai visi yang saya juga mahu capai bersama pasukan. Jurulatih dan pemain di sini mempunyai kualiti yang baik dan saya merasakan aura positif bersama mereka. Rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan menyambut saya dengan baik dan membuatkan saya berasa selesa untuk beraksi bersama pasukan.”
Kim Ji-ho turut menyatakan keterujaannya terhadap sokongan penyokong Selangor FC, yang disifatkannya sebagai antara yang terbaik pernah dilihatnya, serta bersedia untuk berikan komitmen beliau, “Penyokong di sini sangat luar biasa. Sokongan mereka mampu menyuntik semangat pasukan untuk berikan yang terbaik. Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan mereka dan akan berikan segalanya untuk pasukan.”
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Kim Ji-ho. Semoga kehadiran beliau dapat menambah kekuatan barisan serangan Gergasi Merah untuk baki Liga Malaysia dan saingan ACC Shopee Cup 2025/26. Selamat datang, Kim!
Teruskan mengikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2025/26.
Demi Kebanggaan!